1. Syarrut ta‘am (banyak makan)
- Iaitu terlampau
banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
- Makan dan minum
yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta
membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada
menunaikan ibadah dan zikrullah.
- Makan dan minum
yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali
daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.
2. Syarrul kalam (banyak bercakap)
- Iaitu banyak berkata-kata
atau banyak bercakap.
- Banyak
berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu
membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu
mudah merasa jemu.
3. Ghadhab (pemarah)
- Ia bererti sifat
pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah
daripada kejahatan.
- Sifat pemarah
adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang
yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi
hak-haknya.
- Sifat pemarah
yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu
sebab yang benar.
4. Hasad (dengki)
- Iaitu
menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah
kepadanya.
- Seseorang yang
bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak
ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu
perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang
kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada
orang lain.
- Orang yang
berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri
hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang
membawa kepada bencana dan kerosakan.
5. Bakhil (kedekut)
- Iaitu menahan
haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut
oleh agama.
- Nikmat yang
dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan
sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh
yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak
digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah
subhanahu wata‘ala.
- Lebih-lebih lagi
dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan
haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta
tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.
6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)
- Iaitu kasihkan
kemegahan, kebesaran dan pangkat.
- Perasaan
inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang
itu tidak ikhlas kerana Allah.
- Akibat daripada
sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh
menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat
dan kebesaran.
7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)
- Ia bermaksud
kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan
yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
- Banyak perkara
yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan.
Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut
oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
- Oleh yang
demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut
sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan
kewajipan-kewajipan kepada Allah.
- Namun begitu,
menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu
kesalahan.
8. Takabbur (sombong)
- Iaitu
membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
- Orang yang
takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya
daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah
pangkat.
- Sifat takabbur
ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga
manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan
tunduk kepada kebenaran.
9. ‘Ujub (bangga diri)
- Iaitu merasai
atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
- Orang yang
bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa
dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya
atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya
melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
- Dengan itu, maka
timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa
bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)
- Iaitu
memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
- Setiap amalan
yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan
menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
- Orang yang riya’
adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan
inginkan pujian daripada manusia.